0415...
Tidur aku dikejutkan dengan ketukan pintu bilik yang amat kuat. Mama di luar memanggil nama aku dengan suara yang kuat dan sedikit cemas. Sebaik sahaja pintu bilikku dibuka, Mama berkata... "Mak Yen dah takde, Zayed..." dengan teresak-esak sambil memelukku. Terus sahaja wajah-wajah ceria dan garang Mak Yen menguasai fikiran aku. Mak Yen? Dia sihat! Tapi bagaimana pula? Kami pun terus bersiap untuk mengunjungi rumah Arwah di Keramat.
0515...
Kami tiba di rumah Arwah dengan perasaan yang sungguh sayu. Di satu sudut, Syafiq cucu kesayangan Arwah meraung sambil menangis teresak-esak. Hati aku terus sebak melihat betapa hancur luluhnya hati seorang anak kecil yang kehilangan Neneknya yang menjaganya sejak dari kecil. Arwah sudah seperti ibu kepada dia dan adiknya. Di satu sudut lagi aku melihat Anir, anak bongsu Arwah yang sudah bertahun tinggal berdua menangis sambil memeluk Abah. Hatiku sebak dan hampir-hampir aku hilang kawalan tapi aku berjaya menahannya.
0610...
Solat Subuh di Masjid Al-Ansar. Di situ pengumuman dibuat oleh AJK masjid mengenai pemergian Arwah dan meminta AJK masjid yang lain supaya membuat persediaan. Alangkah mudahnya urusan pengkebumian dibuat jikalau anda tinggal berdekatan di kawasan masjid. Aku cuba merenung diri aku. Jikalau di rumah lama aku sering ke surau berdekatan, tetapi semenjak berpindah ke rumah baru, tangga surau sudah lama tidak dipijak. Haih...
0800...
Nasi lemak bungkus dijamah sebagai pengalas perut. Kehadiran kerabat keluarga Arwah yang lain menambahkan sebak di hati aku. Jenazah masih di hospital dan sudah hampir bersedia untuk bertolak ke masjid.
0930...
Jenazah tiba di masjid dan di situ, kaum keluarga terdekat memandikan Arwah dan seterusnya Arwah dikapankan. Kami menunggu di rumah Arwah sambil terus menyambut kunjungan-kunjungan rakan-rakan serta kaum keluarga Arwah.
1100...
Jenazah tiba di rumah Arwah untuk memberi peluang kepada sahabat handai serta kaum keluarga menatap wajah Arwah buat kali terakhir. Yasin dibacakan bagi memudahkan perjalanan Arwah bertemu dengan Tuhannya. Langit yang tadinya cerah berubah kepada gelap dan hujan rahmat turun sebagai tanda kebesaran Yang Maha Esa.
1245...
Jenazah diangkat dan dimasukkan kembali ke dalam van jenazah dan dibawa kembali ke Masjid untuk disembahyangkan. Rezeki Arwah kerana Masjid itu penuh dengan pelajar-pelajar sekolah menengah berhampiran yang datang untuk solat Zuhur berjemaah. Selesai solat jenazah, jasad Arwah pun dibawa ke tapak perkuburan pasar Keramat yang terletak tidak sampai 5 minit dari masjid. Alhamdulillah, hujan sudah pun berhenti seperti memberi laluan proses pengkebumian berlangsung.
1400...
Penggali kubur sudah pun bersedia untuk menyerahkan tugas menanam jenazah kepada kami. Ketiga-tiga anak lelaki Arwah turun ke dalam kubur untuk menyambut jenazah. Arwah diangkat dan diturunkan perlahan-lahan dan disambut dengan pelukan oleh ketiga-tiga anak lelaki Arwah. Tanah kemudiannya digali dan dicangkul untuk menimbus kubur. Selesai jenazah dikambus, Tahlil dibacakan dan doa dipanjatkan supaya mudah-mudahan ia sampai kepadaNya.
1545...
Semua yang datang pulang dan meninggalkan Arwah keseorangan di dalam kubur. Kami sekeluarga berkunjung ke pasar keramat untuk mengisi perut sebelum pulang ke rumah.
Sepanjang aku mengenali Arwah, beliau sungguh pemurah dan sentiasa menunjukkan dirinya sihat. Sungguh tidak disangka kerana antara adik beradiknya, beliau merupakan yang paling nampak sihat dan tiada tanda-tanda yang beliau sakit. Dahulu sewaktu Arwah sekeluarga tinggal di Bangsar, beliau sering menghidangkan kami bihun tebalnya yang bagi aku tiada tandingan sedapnya.
Setiap yang datang pasti akan kembali. Hanya masa menentukan siapa yang bakal pulang berjumpa Tuhan Yang Maha Esa. Cepat atau lambat. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Arwah semoga rohnya ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah...