OK, the rule was : He writes in malay. I write in english. Don't get me wrong. The rule remains. But I just feel like speaking in Malay for this post.
-------
Bukan apa, aku rasa entri kali ni lebih mudah difahami oleh orang2 yang aku nak tujukan. So, aku harap, at least 50% daripada pembaca entri ni ialah my target readers. Aku rasa tak salah nak campur 2 bahasa yang berbeza, sebab zaman sekarang ni pun orang selalu selitkan bahasa selain bahasa ibunda dalam pertuturan biasa.
Sekarang ni dah masuk pertengahan bulan Ramadhan. Dalam lebih kurang 2 minggu lagi, umat Islam seluruh dunia bakal menyambut bulan Syawal, insya Allah. Rakyat Malaysia ke, Saudi Arabia ke, China ke, Mongolia ke, jika namanya Muslim, semua orang akan menyambut Syawal. Cara sambutan mungkin berbeza. Ada yang masak ketupat dan rendang. Lemang dan lodeh. Kuih dan muih. Ada yang pakai baju kurung, baju kebaya, atau ada yang pakai serentak jadi baju kebarung. Jubah, baju melayu, atau cukup sekadar memakai baju yang sedia ada dan nampak elok dan sesuai. Tak semestinya yang baru itu cantik dan yang lama itu tidak relevan. Terpulang pada diri sendiri untuk menilai.
Malangnya, selama hampir 25tahun aku hidup di muka bumi ini, di mana-mana aku pergi, perangai manusia tetap sama. Semulajadi agaknya? Aku mengaku, perangai ni juga ada dalam diri aku, tapi kita kena lah berpada-pada. Tak kan waktu kita sedang menyembah Allah yang Maha Esa pun kita perlu berkelakuan sedemikian? Mungkin aku berbunyi emosi. Tapi aku harap emosi aku ni masih dapat dikawal. Perangai yang aku maksudkan ialah 'pentingkan diri sendiri, bongkak, angkuh'.
Dah jadi kebiasaan sejak kecil, bulan Ramadhan merupakan waktu yang seronok sekali. Bagi kanak-kanak kecil seperti aku 18tahun yang lalu, siang hari adalah masa untuk tidur dan lupakan erti kelaparan. Menjelang petang, akan melawat bazaar Ramadhan yang pada suatu ketikanya hanyalah 'sejengkal' dari rumah, tapi terpaksa ditukar ke kawasan perumahan yang satu lagi kerana keadaan kesesakan lalu lintas yang tak dapat dikawal. Selepas berbuka, bergegas menunaikan solat Maghrib sebab dah nak habis waktu akibat terlalu lama menghabiskan masa untuk 'menyelesaikan' segala juadah yang diperoleh dari bazaar. Terus ke masjid yang kurang 'sejengkal' dari rumah untuk menunaikan solat Terawikh. Saat paling seronok. Kerana itulah 'port' untuk berjumpa rakan-rakan untuk bergelak ketawa dan berlari-lari ketika bonda sedang menunaikan solat Terawikh hingga ke rakaat ke 20.
Dan yang paling best sekali ialah sebab, bila tiba bulan Ramadhan, maknanya lepas tu Raya! Yeay.
Masjid DE sudah banyak berubah sepanjang 18tahun yang lalu. Jika dulu, kawasan solat Muslimat yang terletak di tingkat atas hanya dipasang kipas siling dan kipas dinding di beberapa tiang. Lampu juga ditutup. Cahaya daripada kawasan solat Muslimin dari tingkat bawah yang menerangi bahagian solat kaum Muslimat. Ini menyebabkan manusia-manusia yang berperangai seperti dinyatakan di atas memberi pelbagai alasan. Ada yang membawa kipas meja dari rumah dan meletakkan betul2 di hadapannya, beberapa cm daripada kepalanya ketika sujud. Kipas itu dikhususkan untuk dirinya sahaja sepanjang solat Isyak hingga habis solat Terawikh 20 rakaat dan solat Witr 3 rakaat.
Ada yang seolah-olah cetek ilmu agama atau mungkin, memang cetek ilmu agama kerana enggan merapatkan saf ketika menunaikan solat yang dinamakan 'berjemaah'. Jemaah ini asal dari perkataan 'jamak'. Yang bererti 'banyak' ataupun dalam aspek solat, bermaksud 'himpun'. Correct me if I'm wrong. Aku bukanlah tokoh agama atau cendekiawan bahasa, tapi aku amat faham bila setiap kali sebelum solat, Pak Imam akan kata "Luruskan saf. Rapatkan bahu." Kanak-kanak kecil pun boleh faham. Ertinya, saf perlu diluruskan. Dan bahu perlu dirapatkan. Tetapi ada manusia yang dengan angkuhnya, merenggangkan saf dengan sengaja, dan 'gap' yang dijarakkan adalah di antara 1 kipas siling ke kipas siling yang satu lagi. Ya. Alasan yang diberikan ialah "...saya nak solat bawah kipas. Panaslah..." Mungkin perlu setiap seorang yang tidak solat di bawah kipas untuk diletakkan kipas meja di depan mereka setiap satu? Jika itu yang boleh membuatkan mereka luruskan saf, dan rapatkan bahu. Mungkin?
Tapi ahli jawatankuasa Masjid DE sangat prihatin. Setelah beberapa tahun kaum Muslimat yang solat di tingkat atas dengan diterangi cahaya dari tingkat bawah dan beberapa biji kipas siling dan kipas dinding yang tidaklah begitu berangin (tetapi tidaklah ada orang pernah mati kepanasan dengan keadaan ini sebenarnya), banyak improvement telah dilakukan. Syabas. Jika dahulunya saf kaum Muslimat adalah berbaris-baris hingga ke saf paling belakang, pihak Masjid telah menambahkan sedikit ruang lagi untuk keselesaan para jemaah. Ada pula golongan makcik-makcik atau nenek-nenek yang uzur dan tidak dapat menunaikan solat berdiri, disediakan kerusi bagi mereka. Sekarang ni, ada bahagian kecil di penjuru kawasan solat Muslimin yang dikhaskan untuk golongan yang kurang berkemampuan ini. Kerana hendak memanjat tangga ke tingkat atas tu agak bahaya untuk mereka.
Terbaru, tandas Muslimat sedang diubahsuai untuk diperbesar demi keselesaan semua pihak sempena menjelang bulan mulia. Tidak cukup lagi, sistem penghawa dingin telah dipasang di kedua-dua tingkat agar para jemaah tidak perlu mengangkut kipas meja dari rumah untuk diletakkan di depan muka. Lampu juga sudah 'dibenarkan' untuk dipasang di kawasan Muslimat bagi mengurangkan bilangan para Muslimat yang sering 'berlayar' ketika Pak Imam membaca surah-surah yang panjang lebar ketika solat Terawikh. Memang menjadi tradisi Masjid DE. Di bulan Ramadhan, satu juzuk akan dihabiskan dalam satu malam. Cukup 30malam, insya Allah khatamlah satu Al-Quran.
Malangnya, dengan kecanggihan teknologi dan keselesaan facilities yang diberikan, ada sahaja alasan yang digunakan untuk tetap berperangai angkuh dan sombong. Adegan ini terjadi pada diri aku sendiri minggu lepas.
Adegan 1 :
Aku berada di saf paling depan, kerana lepas rakaat ke-8, menjadi lumrah, 10saf (jika sampai 10) yang di belakang akan terus berkeliaran dan tinggal lah 2-3 saf yang paling depan untuk meneruskan hingga rakaat yang terakhir. Tapi pada tahun ini, memang biasanya, 1 saf saja yang tinggal. Ahli jemaah di sebelah kiri aku terus balik lepas rakaat ke-8. Ada ruang di antara aku ngan orang sebelah. Orang sebelah dah start solat sebab Pak Imam dah angkat takbir. Aku tarik die sedikit, tanda untuk merapatkan renggang. Dia tidak berganjak. Walau 1mm pun. Aku cuba belah kanan pula. Sama. Makcik yang sebelum ini di sebelah aku berbadan agak gempal, jadi ruangnya adalah agak besar. Aku bergegas pergi ke hujung saf, "kak, tolong pergi kat tengah tu boleh tak? ada ruang". Alhamdulillah, akak tu pun memenuhi ruang tu. Tapi akak tu tak segempal makcik sebelum. Jadi, masih ada jarak sedikit di antara kami. Itu je yang mampu aku buat masa tu. Harap-harap solat jemaah kami 1 saf tu diterima walaupun saf tak berapa lurus, bahu tak berapa rapat.
Adegan 2 :
Seperti senario di atas, ada ruang kat sebelah aku. Tapi kali ni, ada saf ke-2. Ada orang betul-betul kat belakang ruang kosong. So macam biasa, orang depan akan panggil orang belakang untuk fill-up the space kalau tak ada orang nk volunteer.
"Kak, meh datang depan?"
"Tak naklah. Sempitlah"
Aku memang terkenal dengan mempunyai airmuka yang sombong sejak lahiriah. Tapi aku selalu berusaha untuk memaniskan muka aku dengan secebis senyuman supaya orang tau yang aku ni takdela sombong mana pun. Tapi aku nak mintak maaf banyak-banyak kat akak tu, aku memang terus masam mencuka dan terpaksa stare die dan mungkin aku rasa dah ter-jeling dia sikit lepas die melafazkan perkataan 'sempitlah'. Nauzubillah. Padahal tak sempit langsung. Dan kakak 'sempit' tu takdelah gemuk gedempol yang boleh menyebabkan dia mati kesempitan di antara kami, ahli jemaah. Nasib baik ada seorang kakak lain datang menyelamatkan keadaan sebelum pahala puasa aku pada hari tu hilang terus atau jadik negatif. Even lepas kakak lain tu masuk, ada lagi ruang sikit di antara kami. Selesa. Tak sempit pun. Langsung tak.
...
Peristiwa ini bukan berlaku di Masjid DE je. Aku pernah solat Terawikh di masjid-masjid lain. Similar. Tapi selalunya, mereka yang terlibat ialah makcik-makcik tua. Biasanya aku redhakan aje sebab maaf cakap, aku faham sebenarnya, zaman dahulu ada yang kurang ilmu agama. Aku tak tau hal ibu-ibu lain, tapi seperti ibu aku, aku tak rasa die ade pergi sekolah agama macam kita pergi di sebelah petang, lepas balik dari sekolah kebangsaan. Sebab tu ramai ibu-ibu pergi usrah dan hadir kelas mengaji pada zaman sekarang ni. To pick up those they've missed. Tapi yang aku sangat sedih, orang-orang muda pun ada yang berperangai camtu. Tak cukupkah ajaran ustaz dan ustazah dulu kat sekolah? Walaupun aku tak habis sekolah agama kerana isu kesihatan, tapi aku masih ingat perkara-perkara penting yang ustaz dan ustazah ajar. Alhamdulillah. Mungkin tidak semua. Tapi aku faham betapa pentingnya saf perlu dirapatkan dan diluruskan ketika solat jemaah. Betapa penting, setiap ahli dalam saf itu sudah baligh. Dan penting juga untuk setiap ahli di dalam saf itu untuk sah wudhu'nya ketika menunaikan solat. Ini semua basic. Kalau tak boleh penuhi kriteria-kriteria ni, tak perlulah datang jauh-jauh untuk solat berjemaah di Masjid sebab anda semua mungkin tak dapat pahala yang sepatutnya anda dapat. Itu tidak apa, kerana diri sendiri yang kena. Tapi janganlah sedut pahala aku juga yang takdela banyak mane pun dengan menyimpan perasaan benci pada kamu semua. Ya. Aku ialah seorang manusia yang kurang sabar. Aku harap dengan menghadirkan diri sebagai salah seorang ahli jemaah dapat membantu diri aku menjadi seorang umat Islam yang lebih berguna. So, janganlah hilangkan niat aku tu.
Aku pun pernah terbatal wudhu' ketika solat. Mujur bukan ketika solat jemaah. Jika Allah tidak izinkan, perkara itu tak terjadi. Tetapi kalau perkara yang boleh kita kawal tetapi dengan sengaja tidak mahu mengawal, maka aku sangat benci dengan manusia-manusia ini.
So bagi semua yang baca entri ni, tolonglah ingat. Malam ni, sebelum solat Terawikh, tolong pandang kiri, tolong pandang kanan. Pastikan ada bahu-bahu lain yang menyentuh bahu-bahu anda. Pastikan jugak orang yang sebelah orang kiri anda tak dapat dilihat. Begitu jugak sebelah kanan. Ini tanda saf sudah lurus. Jika kriteria-kriteria ini belum dipenuhi, tolonglah ajak ahli-ahli jemaah yang di saf belakang untuk pergi ke depan, atau ahli jemaah di sebelah untuk membetulkan kedudukan. Selepas itu, barulah kita angkat takbir dengan tenang. Mudah-mudahan, ada sedikit improvement dalam masyarakat kita sebagai kelompok umat Islam yang lebih berdisiplin. Insya Allah.
Allahu Akbar.
***